MAKSAK Wanita Sarawak, BPHB erat hubungan strategik menerusi perlawanan pickleball
BINTULU: Perlawanan Persahabatan Pickleball anjuran MAKSAK Wanita Sarawak dengan kerjasama Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) berjaya menghimpunkan warga sektor awam dan korporat dalam suasana santai serta penuh semangat kesukanan di Kenyalang Pickle Ball, di sini, pada Khamis.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil pengurusan BPHB.
Antara yang hadir ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengarah UKAS Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Residen Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan serta Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan pihak korporat dalam memperkukuh hubungan strategik menerusi platform sukan dan rekreasi.
Sukan pickleball dilihat sebagai medium terbaik dalam mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni, aktif dan berdaya saing, di samping memperkasakan budaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja.
Turut hadir, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang, Isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar, Pengerusi Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak Datin Daisy Dayus, Bendahari SABATI Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin serta Timbalan Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Sri Haizan Ibrahim.
Selain itu, wakil BPHB yang hadir termasuk Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Sdn. Bhd, Maslihah Tioh, Matshalleh Mohamad Etli dan Awang Faizol Awang Sallam.-EDISI UKAS