ADUN Stakan Sumbang 21 Ekor Lembu Korban Kepada Kampung & Agensi Kerajaan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 21 ekor lembu korban disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim kepada kampung, surau, masjid serta agensi kerajaan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Sumbangan tersebut diumumkan dalam Majlis Penyerahan Lembu Korban DUN Stakan yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Stakan dan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim yang mewakili Datuk Hamzah.
Menurut beliau, inisiatif tahunan itu merupakan komitmen berterusan Datuk Hamzah dalam membantu masyarakat melaksanakan ibadah korban selain memastikan golongan memerlukan turut dapat menikmati agihan daging korban.
Katanya, agihan 21 ekor lembu korban itu melibatkan pelbagai kampung, surau, masjid serta agensi kerajaan termasuk komuniti di Surau Darul Iman Taman Samarindah, Masjid Ar-Riyadh Taman Samarindah, Kampung Pangkalan Kuap, Kampung Jawa Semenggok, Skim Pembesaran Kampung Jawa Semenggok, Surau Cahaya Islam RPR Batu 12, Surau Oxford Park Avenue, Kampung Sungai Pendam, Skim Penempatan Semula Binyu Lot, Kampung Binyuk Lama, Kampung Bukit Berangan, Kampung Stakan Melayu, Kampung Sri Arjuna, Komuniti lslam dan Mualaf Flat Taman Sri Muhibbah Batu13 dan Taman Unigarden.
Turut menerima sumbangan ialah beberapa agensi keselamatan dan kerajaan termasuk Askar 1 DIV, Askar PMT, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Pusat Jantung Sarawak dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turut menyumbangkan lima ekor lembu tambahan untuk diagihkan kepada beberapa lokasi terpilih di kawasan DUN Stakan.
Beliau berkata, pihak pusat khidmat menetapkan harga maksimum RM250 bagi satu bahagian korban bagi membolehkan lebih ramai rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan menyertai ibadah korban tahun ini. -EDISI UKAS