Program JASS Bantu Rakyat Dapatkan Bekalan Makanan Pada Harga Berpatutan
KUCHING: Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga lebih murah di tengah peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut merupakan usaha bersama Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan makanan pada harga berpatutan.
“Ini adalah antara usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat dapat dibantu terutama apabila berlaku kenaikan harga barang di sesetengah tempat.
“Selain itu, ia bagi memastikan ekonomi keluarga tidak terjejas akibat kenaikan harga barang-barang dan usaha ini terus dilaksanakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) serta Jabatan Pertanian Sarawak untuk membantu rakyat termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program JASS di Esplanade Gersik pada Ahad.
Menurut Datuk Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, pelaksanaan Program JASS di Sarawak setakat ini telah mencatat nilai jualan sebanyak RM500,000 melibatkan 17 destinasi dan penyertaan kira-kira 150 usahawan tempatan.
Program anjuran FAMA Sarawak itu menawarkan pelbagai produk makanan segar dan keperluan harian seperti ayam, telur, daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan harga antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
Antara tarikan utama program ialah jualan Kombo Agro Sarawakku Sayang yang ditawarkan pada harga RM15 berbanding harga asal RM20, selain telur ayam dijual RM12 sepapan dan ayam segar RM10 seekor.
Program tersebut turut menjadi platform memperluas pasaran usahawan agro tempatan menerusi konsep jualan terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah.
Turut hadir ialah Pengarah FAMA Negeri Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir serta Pengarah DBKU Ramzi Abdillah. -EDISI UKAS