Maraton Bintulu 2026 Sasar Ribuan Peserta Antarabangsa
BINTULU: Maraton Bintulu 2026 yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan dijangka menarik ribuan penyertaan dari dalam dan luar negara sekali gus memperkukuh kedudukan bandar itu sebagai destinasi utama pelancongan sukan di Sarawak.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari berkata, acara tahunan tersebut terus berkembang dari segi skala, semangat dan pengiktirafan antarabangsa sehingga menjadi antara acara larian utama di Malaysia.
Menurut beliau, penganjuran maraton berkenaan dilaksanakan oleh BDA bersama Pejabat Residen Bintulu dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) selaku rakan strategik.
“Acara dan maraton ini terus berkembang dari segi skala, semangat serta pengiktirafan antarabangsa.
“Edisi 2026 menjanjikan pengalaman perlumbaan bertaraf dunia menerusi penambahbaikan laluan dan kemudahan pelari yang lebih baik,” katanya semasa sidang media Maraton Bintulu 2026 di Wisma Bintulu pada Isnin.
Tambah beliau, edisi kali ini turut menampilkan penambahan kategori perlumbaan melibatkan maraton penuh 42.19 kilometer, separuh maraton 21.1 kilometer, larian kompetitif 10 kilometer serta larian santai enam kilometer bagi keluarga dan peserta rekreasi.
Katanya, laluan perlumbaan kali ini akan mengetengahkan keindahan pesisir pantai Bintulu, kawasan BPHB serta beberapa mercu tanda utama bandar tersebut sekali gus memberi pengalaman unik kepada peserta.
Dalam pada itu, elemen budaya Sarawak dan warisan tempatan turut diterapkan dalam penganjuran acara selain memberi penekanan terhadap penggunaan bahan mesra alam serta penglibatan komuniti setempat termasuk sukarelawan dan sekolah.
Beliau berkata penganjuran maraton tersebut bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, perhotelan, makanan dan perniagaan tempatan di Bintulu.
Selain itu, ekspo khas sempena Maraton Bintulu 2026 akan berlangsung dari 30 Julai hingga 1 Ogos di Boulevard Shopping Mall Bintulu bagi memudahkan peserta mendapatkan kit perlumbaan selain menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang disediakan penganjur.-EDISI UKAS