Semangat Gotong-Royong Meriahkan Ibadah Korban di DUN Balingian
BALINGIAN: Sambutan Aidiladha di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian terus disemarakkan dengan semangat gotong-royong dan kerjasama masyarakat dalam menjayakan ibadah korban tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, budaya kerjasama yang ditunjukkan penduduk kampung bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Surau (AJKP) mencerminkan kekuatan perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan penduduk dalam menjayakan ibadah korban ini amat dihargai dan wajar diteruskan sebagai budaya masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan sempena Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah ke beberapa kampung di kawasan Balingian pada Rabu.
Lawatan yang bermula sekitar jam 9.30 pagi itu melibatkan Kampung Jebungan, Kampung Tegak, Kampung Penakub Ulu dan Kampung Tutus Hilir bagi meninjau pelaksanaan ibadah korban oleh penduduk setempat.
Menurut Abdul Yakub, sambutan Aidiladha bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.
Beliau turut berkesempatan meninjau suasana aktiviti korban Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Masjid Darul Taqwa Balingian.-EDISI UKAS