Pusat Khidmat Rakyat Sibuti Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran Rumah Nelson Ningkan
SIBUTI: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sibuti bertindak segera menyalurkan bantuan awal berjumlah RM10,500 kepada mangsa kebakaran di Rumah Nelson Ningkan, Jalan Sungai Saeh yang musnah dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, bantuan tersebut disalurkan kepada 21 pintu yang terjejas dengan setiap ketua pintu menerima sumbangan sebanyak RM500 bagi meringankan beban mereka.
Menurut beliau, kejadian itu merupakan kebakaran rumah panjang ketiga yang berlaku sepanjang tempoh lapan tahun beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sibuti.
“Berdasarkan pengalaman kebakaran di Rumah Chengki pada 31 Disember 2024 dan Rumah Sain pada 21 Ogos 2025, Kerajaan Sarawak akan membantu melalui Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Subis.
“Berdasarkan rekod, bantuan berjumlah RM70,000 akan disediakan bagi setiap pintu yang terjejas dan disalurkan menerusi kaedah tender bahan binaan rumah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook yang dimuatnaik pada Sabtu.
Beliau bagaimanapun menjelaskan proses pembinaan semula memerlukan masa memandangkan terdapat beberapa kos tambahan yang perlu ditanggung termasuk penyediaan tapak, pembinaan rumah sementara serta pelbagai kerja berkaitan.
Sehubungan itu, Dato Lukanisman berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan oleh pelbagai pihak bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas.
Beliau turut menegaskan bahawa, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus akan memastikan segala bantuan kepada mangsa kebakaran dapat disalurkan dengan lancar dan teratur.
Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat mangsa kebakaran bagi menyampaikan bantuan wang tunai serta keperluan asas kepada keluarga yang terjejas.
Dalam kejadian tersebut, seramai 136 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas Rumah Nelson Ningkan di Jalan Sungai Saeh musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Jumaat. - EDISI UKAS