Sarawak Masuki Fasa Kedua PCDS 2030 Menerusi RMK13
KUCHING: Sarawak kini melangkah ke Fasa Kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, RMK13 akan menjadi pelan induk pembangunan negeri bagi menentukan hala tuju Sarawak sehingga tahun 2030.
Menurut beliau, matlamat utama yang disasarkan adalah menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju, makmur, inklusif dan mampan yang dipacu oleh inovasi, teknologi, data serta modal insan berkualiti tinggi.
“Sasaran utama kita adalah mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang tahun 2030.
“Bagi mencapai lonjakan ini, RMK13 akan berpaksikan kepada tiga prinsip utama iaitu Fix atau memperbaiki, Build atau membina dan New iaitu baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Gawai Dayak 2026.
Tambah beliau, Sarawak akan memperbaiki segala kekangan sedia ada supaya lebih cekap, membina kemajuan secara berterusan serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi global.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi melonjakkan kedudukan Sarawak ke tahap lebih tinggi dalam landskap pembangunan serantau dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan era kebergantungan sepenuhnya terhadap sumber asli kini telah berlalu apabila Sarawak sedang beralih kepada ekonomi baharu berasaskan ilmu pengetahuan, inovasi dan kekuatan modal insan.
“Jika sebelum ini pembangunan banyak bergantung kepada hasil minyak, gas dan sumber semula jadi lain, kini kita sedang mengorak langkah ke arah ekonomi yang dipacu oleh brain power atau kekuatan intelektual.
“Kita sedar kekuatan ilmu, kreativiti, kemahiran dan kebijaksanaan tidak mempunyai batasan,” katanya.
Menurut beliau, pelaburan terbesar yang perlu diberikan pada masa kini ialah pelaburan terhadap anak-anak Sarawak bagi memastikan negeri itu memiliki bakat dan kepakaran tempatan yang mampu memacu pembangunan masa depan.
Dalam kesempatan itu, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak di Sarawak serta menyeru rakyat negeri ini agar terus memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kerjasama demi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan jayanya.-EDISI UKAS