Kerjasama Semua Pihak Selamatkan Pesakit Kritikal Dari Long Itam
MIRI: Misi penerbangan ihsan ‘Mercy Flight’ bagi memindahkan seorang pesakit kritikal dari Long Itam Asal, Baram ke Hospital Miri pada Sabtu lepas membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan penduduk di kawasan pedalaman mendapat akses kepada bantuan kecemasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, berkata kejayaan operasi berkenaan adalah hasil kerjasama pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan, Pejabat Residen Bahagian Miri, Hospital Miri serta penduduk kampung yang terlibat.
Beliau berkata, operasi pemindahan udara itu dilaksanakan selepas kampung berkenaan terputus hubungan susulan keadaan bekas jalan balak yang rosak teruk dan tidak lagi dapat dilalui kenderaan, sekali gus menyukarkan pemindahan pesakit melalui laluan darat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pasukan bomba dan petugas kesihatan yang telah memberikan respons segera dalam memastikan pesakit berkenaan dapat menerima rawatan segera di hospital.
"Terima kasih kerana membantu menyelamatkan nyawa seorang anak pedalaman Telang Usan walaupun berdepan cabaran perhubungan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Datuk Dennis yang dalam perjalanan dari Miri ke Long Kevuk menerima panggilan daripada wakil kesihatan Kampung Ba Itam Bunau, memaklumkan keadaan pesakit berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.
Beliau kemudian menghubungi agensi berkaitan untuk membantu operasi pemindahan pesakit melalui udara pada hari yang sama.- EDISI UKAS