500 Penduduk DUN Pelawan Terima Manfaat Program Bantuan Lesen Memandu B2
SIBU: Seramai 500 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan berjaya memperoleh lesen memandu motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, program itu membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu secara sah.
Menurutnya, inisiatif berkenaan membuka peluang kepada peserta meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui pekerjaan dalam sektor logistik dan pengangkutan.
“Bagi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN Pelawan kali ini, seramai 500 peserta telah berjaya mendapatkan lesen selepas melalui proses tapisan, latihan dan ujian yang ditetapkan oleh JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart pada Sabtu.
Program itu merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilaksanakan di seluruh negara.
Datuk Michael menegaskan, kerajaan komited memastikan sistem perhubungan dan infrastruktur jalan raya negara berada pada tahap terbaik bagi menjamin keselamatan pengguna serta menyokong pembangunan sosioekonomi.
Justeru, katanya, program bantuan lesen memandu itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia mendapatkan lesen secara sah, malah membantu melahirkan pemandu yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sarawak Mohd Faizal David Jemat, wakil Residen Bahagian Sibu Macgyver Boi, wakil Ketua Polis Daerah Sibu Inspektor Muhammad Edham Ibrahim dan Ketua Cawangan JPJ Sibu Jelapin Entalai.-EDISI UKAS