69 pelajar cemerlang SPM DUN Ngemah terima insentif
NGEMAH: Seramai 69 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menerima insentif pendidikan berjumlah RM20,700 sebagai tanda penghargaan dan galakan untuk terus melakar kejayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, ganjaran tersebut diberikan kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan 3A dan ke atas dengan kadar RM300 seorang, selain mengumumkan bantuan lanjutan bagi mereka yang melangkah ke menara gading.
“Gunakan peluang yang ada untuk mewarnakan masa depan anda. Sekiranya mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pilihlah bidang yang benar-benar diminati dan mempunyai permintaan yang baik di pasaran pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan SPM 2025 di Pejabat Pusat Khidmat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma akan menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 seorang, manakala mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pula akan menerima RM1,000 seorang.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya semasa menuntut ilmu dan berkhidmat sebagai seorang pendidik sebelum diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat.
“Kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha gigih, disiplin serta kesungguhan dalam mengejar cita-cita.
“Diharap kisah perjalanan hidup tersebut dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, seramai 7 penerima merupakan pelajar cemerlang yang memperoleh 7A, iaitu Nisa John, Charmelin Gerina Naong Marcus, Lydia Nia Melia, Deana Bestrisya Jes, Felecia Jelembai Jack, Jackline Martin dan Doniefer Gindy Wilson. -EDISI UKAS