Tiga Projek Naik Taraf Sistem Paip Graviti Di DUN Opar Siap
LUNDU: Tiga projek menaik taraf sistem paip graviti bernilai keseluruhan RM1.35 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada komuniti setempat bagi meningkatkan kemudahan bekalan air luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penyediaan bekalan air yang lebih baik merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan asas rakyat luar bandar terus dipertingkatkan.
Menurut beliau, projek sistem paip graviti amat penting khususnya bagi komuniti yang bergantung kepada sumber air bukit, terutama ketika berdepan cabaran pencemaran sumber air akibat aktiviti pembangunan serta perubahan guna tanah.
“Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh kemudahan asas termasuk bekalan air dan infrastruktur lain mengikut keperluan masyarakat setempat.
“Pada masa sama, kemudahan yang telah disediakan perlu dijaga dan diselenggara dengan baik agar dapat memberi manfaat kepada penduduk dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di Kampung Tanjam/Opek, Kampung Sebiris dan Kampung Sebigo Dayak, pada Isnin.
Projek yang diserahkan melibatkan projek menaik taraf sistem paip graviti Kampung Tanjam/Opek bernilai RM600,000, projek menaik taraf sistem paip graviti Kampung Sebiris bernilai RM550,000 serta projek menaik taraf sistem paip graviti Kampung Sebigo Dayak dan Kampung Titiakar bernilai RM200,000.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan GKCDA atas komitmen berterusan menyalurkan peruntukan pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan DUN Opar.
Beliau berkata, penyerahan ketiga-tiga projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk melalui sistem bekalan air alternatif yang lebih cekap, stabil dan berkualiti, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan komuniti luar bandar.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Penolong Jurutera Bahagian Kuching Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ts. Siet Ung Wu, wakil GKCDA, Marlini Dari, Pemanca Allen Manium Enggang serta beberapa ketua kaum kawasan terlibat.-EDISI UKAS