30 Pelajar DUN Simunjan Terima Sumbangan Dana Pendidikan
SIMUNJAN: Seramai 30 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima sumbangan dana pendidikan berjumlah keseluruhan RM9,000 semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Dana ADUN Simunjan pada Selasa.
Sumbangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta memberi galakan kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
Berucap pada majlis tersebut, Awla turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan dan menyeru para pelajar supaya mempunyai cita-cita yang jelas serta berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
"Kejayaan dalam bidang pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang serta menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat dan daerah secara keseluruhannya," katanya.
Beliau juga menggalakkan golongan belia untuk merebut peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang kini menawarkan prospek pekerjaan yang luas dan relevan dengan keperluan industri semasa.
“Saya melihat penyertaan anak-anak kita dalam bidang TVET dan ICT masih rendah, sedangkan kedua-dua bidang ini menyediakan peluang yang sangat baik untuk masa depan mereka,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri di jalan raya serta menjauhi aktiviti lumba haram yang boleh mengundang tragedi.
Beliau berharap ibu bapa terus memainkan peranan aktif dalam memantau perkembangan pendidikan anak-anak dan menjadikan kejayaan anak sulung sebagai inspirasi kepada adik-beradik lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Turut hadir Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi; serta pemimpin parti dan masyarakat.-EDISI UKAS