Mesyuarat Kedua Sekretariat LOC Sarawak Perhalusi Persiapan Sukan SEA 2027
KUCHING: Sekretariat LOC Sarawak telah mengadakan mesyuarat kedua pada Jumaat bagi membincangkan persiapan penganjuran temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September di sini.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Pengerusi Sekretariat LOC Sarawak, Datu Hii Chang Kee itu memfokuskan kepada memperincikan peranan setiap jawatankuasa yang telah dilantik untuk melaksanakan tugas ditetapkan.
Bagi melicinkan persiapan, operasi Sekretariat LOC Sarawak telah dipecahkan kepada empat bahagian utama yang akan melaksanakan pelbagai peranan.
Bahagian Strategic, Governance And Communication diketuai oleh Jenny Lee Siak Ne, Bahagian Corporate Services And Commercial Affairs diketuai Asmawaty @ Siti Asmah Ahmad, Bahagian Venue Preparations, Games Operation And Stakeholders Experience diketuai Abdul Rani Abdullah manakala Puvindra Pubeion Jayakumar mengetuai Bahagian Digital, Technology And Games Systems.
Datu Hii turut menyeru kesemua jawatankuasa agar memainkan peranan proaktif memastikan setiap tugasan ditetapkan bermula dengan segera.
Menyentuh mengenai persiapan penganjuran, beliau berkata program Larian Obor Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak dijangka bermula pada tahun depan di kesemua bahagian negeri.
Bagi memeriahkan lagi program tersebut ujarnya, turut diadakan jerayawara serta pelbagai program sampingan lain.
Untuk rekod, Sarawak akan menganjurkan 17 daripada 38 jenis sukan pada Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September.
Sukan-sukan tersebut ialah akuatik, angkat berat, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, menembak, muay, petanque, skuasy, taekwondo, tenis, wushu, bola keranjang, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Selain itu, Sarawak juga diberi penghormatan sebagai venue bagi acara pembukaan temasya berprestij tersebut. - EDISI UKAS