Sarawak Sentiasa Iktiraf Peranan FAM Sebagai Badan Induk Bola Sepak Negara
KUCHING: Sarawak sentiasa mengiktiraf peranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak negara dan memahami kedudukan serta struktur pentadbiran sukan berkenaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebarang perancangan pembangunan bola sepak di Sarawak akan sentiasa mengambil kira peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh badan induk sukan tersebut.
Menurut beliau, cadangan pembangunan Liga Premier Sarawak bukan bertujuan untuk menyaingi atau mengetepikan peranan FAM, sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Apa yang kami cuba lakukan sekarang ialah membangunkan bola sepak dari peringkat akar umbi, sebab itu saya menggunakan istilah pembangunan, bukannya mewujudkan liga antarabangsa.
“Jika melibatkan pertandingan antarabangsa, kita akan berkoordinasi dengan FAM kerana kita tahu mereka adalah badan yang mentadbir bola sepak di Malaysia dan kita menghormati perkara itu.
“Apa yang saya maksudkan ialah kita mahu membina struktur pembangunan bermula dari kawasan, bahagian dan seluruh Sarawak supaya lebih ramai pemain bola sepak berkualiti dapat dilahirkan,” katanya dalam sidang media 3rd Asian Doubles Squasy Championship 2026 di Bangunan Baitulmakmur pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan berita mengenai FAM memberi amaran agar cadangan Liga Sarawak perlu kekal dalam struktur piramid bola sepak negara dan mematuhi peraturan sedia ada di bawah bidang kuasa FAM serta FIFA.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim menegaskan, usaha tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh ekosistem bola sepak negeri sebelum pemain-pemain berpotensi diserap ke peringkat lebih tinggi sama ada bersama kelab profesional mahupun skuad kebangsaan.
Katanya, Sarawak kekal komited untuk bekerjasama dengan FAM dalam apa jua bentuk pelaksanaan yang melibatkan pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa. -EDISI UKAS