Kemajuan AI & Tenaga Tarik Perhatian Utusan Perdagangan UK Ke ASEAN
KUCHING: Kemajuan pesat Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga serta pembangunan ekonomi mampan berjaya menarik perhatian Utusan Perdagangan United Kingdom (UK) Ke ASEAN.
Mengetuai delegasi itu, Ahli Parlimen United Kingdom merangkap Utusan Perdagangan UK ke ASEAN, Naz Shah memberitahu, Kuching menjadi destinasi pertama yang dikunjunginya sempena lawatan sulung ke Malaysia dan pengalaman berada di Sarawak telah memberikan gambaran yang amat positif.
“Saya amat terinspirasi melihat kemajuan teknologi, pembangunan AI, perancangan tenaga, kepimpinan serta cita-cita besar Sarawak untuk masa depan.
“Keindahan negeri ini sangat menakjubkan dan rakyatnya amat mesra dan berharap Sarawak terus mencapai kejayaan dalam semua agenda pembangunannya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Selasa.
Sementara itu, salah seorang delegasi yang sama, Muddassar Ahmed berkata, kunjungan ini susulan selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Manchester baru-baru ini.
Menurut beliau, kunjungan itu bertujuan membincangkan pelaksanaan MoU berkenaan selain mendapatkan gambaran lebih mendalam mengenai kemajuan luar biasa yang dicapai Sarawak khususnya dalam bidang AI dan sektor tenaga.
“Kunjungan hormat hari ini diadakan susulan lawatan kami bersama Premier Sarawak ke Manchester, yang turut melibatkan sekumpulan pegawai dan ahli parlimen British di mana ketika berada di Manchester, kami telah menandatangani MoU, dan hari ini kami berpeluang mengadakan perbincangan dengan Premier mengenai MoU tersebut.
“Secara khususnya, kami membincangkan kemajuan yang dicapai Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), serta perkembangan luar biasa yang telah dicapai negeri ini dalam sektor tenaga,” ujar beliau.
Beliau turut menyifatkan Datuk Patinggi Abang Zohari sebagai seorang pemimpin berwawasan yang sentiasa menggalakkan pembangunan bakat dan inovasi.
Malah, beliau mengakui Premier Sarawak merupakan antara pemimpin dunia paling mengagumkan yang pernah ditemuinya sepanjang penglibatannya dalam pelbagai urusan antarabangsa.
“Saya telah bertemu ramai pemimpin dunia, namun beliau merupakan antara pemimpin yang paling mengagumkan pernah saya temui. Beliau sangat menggalakkan pembangunan bakat dan sentiasa berpandangan jauh dalam merancang pembangunan,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS