DUN Telang Usan Beralih Ke Ekonomi Hijau, Teroka Potensi Penyimpanan Karbon
MIRI: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi hijau, penyimpanan karbon dan tenaga boleh diperbaharui bagi memastikan pembangunan kawasan itu terus mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata perubahan tersebut perlu dilakukan memandangkan industri pembalakan yang suatu ketika dahulu yang menjadi pemacu utama ekonomi penduduk Baram kini tidak lagi menjadi sumber ekonomi kawasan itu.
“Pada satu ketika dahulu, kita sangat bergantung kepada industri balak sebagai sumber ekonomi utama penduduk Baram.
"Sekarang balak sudah tiada lagi, jadi kita perlu beralih kepada ekonomi baharu yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Miri, pada Selasa.
Datuk Dennis menambah, usaha membangunkan industri penyimpanan karbon (carbon storage) melalui pemeliharaan kawasan hutan merupakan antara inisiatif yang selaras dengan agenda ekonomi hijau yang diterajui Kerajaan Sarawak di bawah PCDS 2030.
Katanya, selain itu pembangunan Long Lama sebagai Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (Rural Growth Centre - RGC) terus diberi perhatian menerusi pelbagai perancangan strategik yang dirangka untuk merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Telang Usan.
“Long Lama bakal mendapat manfaat daripada pembinaan jalan yang menghubungkan kawasan itu dengan rangkaian Jalan Sabah-Sarawak-Brunei (SSR), sekali gus menjadikannya antara laluan penting bagi pengguna yang bergerak antara Sabah, Sarawak dan Mulu.
“Apabila ada jalan, akan wujud peluang ekonomi. Long Lama dan Telang Usan tidak akan dipinggirkan daripada arus pembangunan,” ujarnya.
Datuk Dennis menambah, Projek Baram Agrivoltaic di Temalak yang melibatkan pembangunan ladang solar berskala besar berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi luar bandar di kawasan Baram.
Menurutnya, projek bernilai berbilion ringgit itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi kesan limpahan kepada sektor pengangkutan, perniagaan, penginapan, makanan dan minuman serta latihan kemahiran kepada penduduk tempatan.
Beliau yakin pelaksanaan pelbagai projek strategik berteraskan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan luar bandar akan memastikan Baram khususnya Telang Usan terus maju.
Terdahulu, beliau menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM846,000 kepada 42 pertubuhan, persatuan, rumah ibadat dan organisasi komuniti di kawasan Telang Usan.- EDISI UKAS