99 Pelajar Terima Bantuan Pendidikan ADUN Dalat Bernilai RM50,600
DALAT: Seramai 99 pelajar menerima Bantuan Jawatankuasa Pendidikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,600.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan pendidikan secara ‘one-off’ itu adalah bagi membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu, bantuan tersebut khusus untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan memastikan aspek kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran.
“Diharapkan bantuan yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka pada masa hadapan dan apabila berjaya kelak, mereka akan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Jawatankuasa Pendidikan ADUN Dalat, di Pusat Khidmat DUN Dalat, pada Selasa.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan bagi memastikan anak-anak negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta peluang pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan.
Katanya, pelbagai bentuk bantuan pendidikan telah diperkenalkan termasuk penyediaan komputer riba dan peranti digital khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pada masa sama, Dato Sri Fatimah turut menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di kawasan Dalat untuk memanfaatkan peluang mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat.
“Antara kursus yang ditawarkan di CENTEXS Dalat ialah kursus penjagaan warga emas yang dilihat semakin relevan berikutan peningkatan populasi warga emas di Sarawak.
“Kursus tersebut memberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan penjagaan warga emas merangkumi aspek kesihatan, psikologi, hak warga emas serta perundangan yang berkaitan.
“Apabila Sarawak menuju ke arah negeri menua, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas dijangka meningkat. Oleh itu, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini amat diperlukan,” tambahnya. - EDISI UKAS