Lima Projek Jalan Pertanian Di DUN Opar Penuhi Spesifikasi
LUNDU: Lima projek jalan pertanian yang dilaksanakan di kawasan konstituensi Opar menerusi Geran Kecil Luar Bandar (GKCDA) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) disahkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan sekali gus bersedia memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang telah mengadakan lawatan pemeriksaan akhir ke atas lima projek jalan pertanian itu di beberapa kampung dalam kawasan DUN Opar pada Khamis.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap pelaksanaan projek serta memastikan semua kerja yang dilaksanakan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh agensi pelaksana sebelum diserahkan untuk kegunaan penduduk setempat.
Antara projek yang diperiksa ialah Projek Membina Baharu Jalan Pertanian Menuju Batu Wangkang di Kampung Pasir Tengah bernilai RM170,500, Projek Menaiktaraf Jalan Pertanian Benjay Fasa 2 di Kampung Pasir Hulu bernilai RM250,000, Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Kampung Semapu bernilai RM277,605, Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Kampung Judin bernilai RM432,800 serta Projek Naiktaraf Jalan Pertanian Kampung Temaga Dayak.
Bagi projek di Kampung Pasir Hulu Fasa 2, skop kerja melibatkan pembinaan jalan sepanjang 444 meter serta sebuah pembentung dan lintasan manakala projek di Kampung Temaga Dayak melibatkan pembinaan jalan sepanjang 1.6 kilometer merangkumi dua jajaran jalan serta pemasangan tiga unit culvert berukuran 900 milimeter.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua lima projek tersebut telah memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh DID berdasarkan skop kerja yang diluluskan.
Billy bersama ketua-ketua kaum yang hadir turut menyatakan kepuasan terhadap kualiti pelaksanaan projek yang diyakini mampu meningkatkan aksesibiliti penduduk dan memudahkan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS