BUDI Agri-Komoditi Diperluas ke Sabah, Sarawak, Pekebun Kecil Terima Bantuan Tunai Sehingga RM400 Sebulan
KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperluaskan pelaksanaan Program BUDI Agri-Komoditi ke Sabah dan Sarawak bagi membantu petani serta pekebun kecil menghadapi kos pembelian bahan api susulan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perluasan itu membolehkan petani dan pekebun kecil di kedua-dua negeri memohon bantuan tunai bulanan melalui agensi yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut beliau, penerima yang layak akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan bersama bantuan interim RM200 sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan RM400 sebulan bagi mengurangkan beban kos operasi akibat pembelian diesel pada harga pasaran.
“Seperti yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, inisiatif BUDI Agri-Komoditi turut akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak di mana petani serta pekebun kecil di kedua-dua negeri boleh mengemukakan permohonan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) atau agensi kerajaan negeri yang ditetapkan.
“Menerusi inisiatif tersebut, mereka layak menerima bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan berserta bantuan interim tambahan RM200, menjadikan jumlah keseluruhan RM400 sebulan untuk mengurangkan beban kos pembelian diesel pada harga pasaran yang diapungkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel, di sini pada Rabu.
Dalam usaha memastikan lebih ramai pengusaha sektor agri-komoditi di Sabah dan Sarawak mendapat manfaat, kerajaan turut memperluaskan senarai agensi pengesahan kelayakan melibatkan pelbagai badan industri berkaitan.
Antara agensi yang terlibat ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Lada Malaysia, selain Lembaga Industri Getah Sabah dan Lembaga Industri Getah Sarawak.
Katanya, agensi-agensi berkenaan akan mengesahkan kelayakan pemohon sebelum bantuan disalurkan secara terus melalui pemindahan tunai setiap bulan. -EDISI UKAS