![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru pemaju agar bersama-sama mempercepat pembangunan Samalaju dengan menyediakan lebih banyak kemudahan kediaman, rekreasi dan pendidikan bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan perindustrian tersebut.
Menurutnya, pembangunan Samalaju perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan penduduk serta tenaga kerja yang semakin meningkat seiring perkembangan Samalaju sebagai hab industri bertaraf antarabangsa.
"Kerajaan komited menyediakan pelbagai kemudahan asas dan sosial termasuk perumahan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, sukan, rekreasi serta utiliti yang lebih lengkap.
"Kita juga merancang membangunkan Bandar Samalaju. Ia melibatkan kemudahan kediaman, pendidikan, sukan dan rekreasi, selain kita telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi keutamaan kepada pembinaan hospital di Samalaju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Samalaju SME Cluster di Samalaju, pada Isnin.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan turut memperkukuh infrastruktur kawasan tersebut menerusi peningkatan kapasiti bekalan elektrik serta pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 200 juta liter sehari (MLD) bagi menampung keperluan pembangunan masa depan.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu berkata, pembangunan Samalaju SME Cluster pula akan melengkapkan ekosistem industri sedia ada dengan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk membekalkan produk serta perkhidmatan bernilai tambah kepada syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian berkenaan.
Katanya, projek tersebut akan dibangunkan dalam 10 fasa di kawasan seluas 96.72 hektar dengan anggaran kos keseluruhan RM223 juta.
"Fasa 1 dan Fasa 2 yang telah siap dibangunkan melibatkan kos RM25.8 juta dan menyediakan sebanyak 21 lot industri," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan melaksanakan Program Samalaju Collaborative and Operational Readiness Engine for MSMEs (SCORE-MSME) bagi memperkukuh daya saing PMKS tempatan melalui pembangunan vendor, pemindahan teknologi, pensijilan global, peningkatan kemahiran serta akses kepada pembiayaan.