Sarawak Rancang Tubuh Struktur Khas Urus Pusat Seni Persembahan
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang menubuhkan satu struktur pengurusan khas bagi mengendalikan Pusat Seni Persembahan (Performing Arts Centre) yang sedang dibangunkan bagi memastikan operasi dan penganjuran program seni dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, struktur tersebut akan dibincangkan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi menentukan bentuk pengurusan yang paling sesuai.
“Bukan kerana Majlis Seni Sarawak tidak mampu menguruskannya, tetapi tanggungjawab mereka sudah cukup besar.
“Jika mereka juga diminta memastikan persembahan diadakan setiap minggu, sudah tentu ia akan menjadi satu beban, justeru kita mungkin akan mewujudkan satu struktur pengurusan yang lebih sesuai.
“Perkara ini akan dibincangkan bersama Premier Sarawak bagi menentukan bentuk pengurusan terbaik untuk Pusat Seni Persembahan,” katanya ketika berucap dalam Program Majlis Seni Sarawak (MSS) Bersama Media di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, Sarawak kini menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang giat membawa kumpulan seni persembahan ke luar negara melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, kedutaan dan perwakilan negara di luar negara.
Menurutnya, kumpulan kebudayaan dari Sarawak kerap dijemput mengadakan persembahan sempena Hari Malaysia, Hari Kebangsaan dan pelbagai majlis rasmi di kedutaan Malaysia di luar negara.
Tambahnya, kerjasama tersebut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila pihak kedutaan menyediakan penginapan serta jamuan, manakala Sarawak menanggung kos penerbangan kumpulan seni.
“Dengan cara itu, kita dapat mempamerkan kebudayaan Sarawak di peringkat antarabangsa.
“Itulah sebabnya sekarang kita terus menghantar kumpulan-kumpulan kebudayaan ke luar negara yang ada, di antaranya daripada Majlis Seni Sarawak dan ada juga daripada kumpulan seni persembahan swasta serta universiti-universiti,” jelas beliau. - EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Ramzani