Ketua Kaum Baharu DUN Bekenu Diingatkan Pikul Amanah Dengan Berintegriti, Ikhlas
SUBIS: Ketua Kaum diingatkan agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, Ketua Kaum memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, di samping memelihara keharmonian komuniti, membantu menyelesaikan isu masyarakat secara adil serta menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan kepada penduduk.
Beliau turut mengingatkan Ketua Kaum supaya sentiasa mengemas kini profil kampung, menghadiri pejabat Ketua Masyarakat mengikut jadual ditetapkan, mengaktifkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mengamalkan tadbir urus yang berintegriti serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam melaksanakan tanggungjawab.
Datuk Rosey berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil lantikan baharu Ketua Kaum DUN Bekenu di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan Ketua Kaum menjalinkan kerjasama erat dengan Pejabat Daerah, agensi kerajaan, pemimpin tempatan dan jawatankuasa kampung bagi memperkukuh pelaksanaan program pembangunan serta mengenal pasti keperluan dan potensi kampung ke arah meningkatkan pembangunan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan kebajikan masyarakat.
Tiga penerima sijil pelantikan tersebut ialah Tuai Rumah (TR) Felicia Juban bagi Bintang Sebatu menggantikan TR John Gerang, Ketua Kampung (KK) Tuah Gabak bagi Kampung Tanjung Bungai menggantikan mantan KK Ebi Shahak, serta KK Mohammad Firdaus Kadel bagi Kampung Kuala Sibuti menggantikan mantan KK Abdullah Yaman.
Turut hadir Pemanca Dr. Ali Mudin, Penghulu Junit Molok, Penghulu Januin Taha, Penghulu Wan Pauzi Wan Ahmad, Penghulu Epat Bakar, Penghulu Kadir Yaakup, Wakil Residen Miri Sao Serbillah Dahlan serta Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu.-EDISI UKAS