Usaha Memperkukuh Kemudahan Infrastruktur Di DUN Bukit Kota Terus Dipergiat
LIMBANG: Usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur di DUN Bukit Kota terus dipergiat bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti, khususnya di kawasan yang berdepan cabaran alam sekitar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek pembinaan benteng sungai di Kampung Sungai Poyan dilaksanakan bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai yang menghala ke Sungai Limbang, sekali gus melindungi kediaman penduduk daripada risiko tanah susur.
“Hari ini kami turun melawat projek RTP di DUN Bukit Kota, Kampung Sungai Poyan. Terdapat satu projek yang sangat penting bagi mengelakkan hakisan tebing sungai di Sungai Poyan yang menghala ke Sungai Limbang,” katanya ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke projek RTP di Kampung Sungai Poyan pada Selasa.
Beliau berkata, projek pembinaan benteng sepanjang 250 meter itu dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM500,000 dan dijangka memberi manfaat kepada 10 buah rumah di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, pembinaan benteng fasa kedua akan diteruskan pada tahun hadapan dengan anggaran kos RM500,000 lagi bagi melindungi keseluruhan kawasan tebing Sungai Poyan.
Menurut beliau, kawasan Sungai Poyan mempunyai pemandangan yang menarik serta berpotensi dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan memandangkan lokasinya yang berhampiran bandar Limbang.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak kampung dapat merancang penyediaan prasarana yang bersesuaian serta menganjurkan aktiviti sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun bagi menarik kehadiran pengunjung termasuk dari Brunei.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) melaksanakan kerja-kerja pembersihan sungai serta penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan keadaan sungai terus terpelihara, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk dan merancakkan ekonomi setempat.
Sementara itu, beliau turut meninjau persiapan tapak International Festival Kedayan Arts & Culture Limbang (IFKACL) 2026 di Kampung Nauran yang dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran festival tersebut pada tahun ini.
Beliau berkata, penganjuran festival berkenaan bukan sahaja berperanan memelihara warisan dan budaya masyarakat Kedayan, malah mampu menjadi platform untuk mempromosikan Limbang sebagai destinasi pelancongan budaya serta menjana limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan Dan Saliran Bahagian Limbang, Iwan Halmi, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang, Ir. Aizatul Nabilah Suhermanto, Ketua Kampung Sungai Poyan, Shahrin Aji dan Ketua Kampung Nauran, Musiv @ Affendi Mohidin.-EDISI UKAS