Lapan Pakej Projek Jalan Raya Lengkapi Jambatan Batang Lupar 1
SEBUYAU: Sebanyak lapan pakej projek jalan raya dengan kos keseluruhan RM3.21 bilion sedang giat dilaksanakan di bawah projek ‘Sarawak Second Trunk Road’ (SSTR) dan ‘Coastal Road Trunk Road’ (CSTR) bagi melengkapkan jaringan infrastruktur sekitar Jambatan Batang Lupar 1.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain perasmian Jambatan Batang Lupar 1, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut rancak melaksanakan rangkaian jalan raya di Bahagian Samarahan, Betong dan Sri Aman bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan berkenaan.
Tambahnya, jaringan jalan raya di sekitar Jambatan Batang Lupar 1 ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.21 bilion.
"Apabila keseluruhan rangkaian jalan raya ini siap kelak, jarak perjalanan dari Kuching ke Sibu, nombor satu adalah tidak ada feri lagi kerana sudah menjadi sejarah dan nombor dua pula akan dipendekkan kepada hanya 252 kilometer, berbanding 396 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo, iaitu pengurangan sejauh 144 kilometer," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai projek tersebut, Datuk Amar Douglas memberitahu, projek tersebut merangkumi Pakej A1-A dari Jambatan Samarahan ke Sadong Jaya bernilai RM529.8 juta yang dijangka siap pada Disember 2027, Pakej A1-B iaitu pembinaan lebuh raya bertingkat ke Jambatan Sadong Jaya bernilai RM779.9 juta yang dijangka siap pada September 2030, serta Pakej A2 dari Sadong Jaya ke Sebuyau bernilai RM542.8 juta yang dijangka siap menjelang penghujung 2030.
Beliau berkata, projek lain yang turut dilaksanakan ialah Pakej B1 dari Sebuyau ke Jambatan Lingga bernilai RM494.6 juta, Pakej P1 dan P2 melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Jambatan Lingga ke Bakong hingga Entulang (Sri Aman) bernilai RM140.8 juta,
Ujarnya, projek lain adalah Pakej B4 dari Jambatan Batang Lupar 2 ke persimpangan Lebuhraya Pan Borneo di Betong bernilai RM292 juta yang dijangka siap pada September 2026 serta Pakej A5 dari Jambatan Saribas 2 ke persimpangan Lebuhraya Pan Borneo di Roban bernilai RM431.8 juta yang dijangka siap pada Mac 2027.
Hadir sama semasa majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi, barisan Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir, Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir & Natalie Cherinie Johnny