SADA Terus Pacu Pembangunan Holistik Sri Aman Selaras PCDS 2030
SRI AMAN: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) terus komited mempercepatkan pembangunan Bahagian Sri Aman menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Pengerusi SADA merangkap Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Program dan Projek Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, sehingga Jun 2026, sebanyak 13 projek di bawah seliaan SADA telah berjaya disiapkan, manakala pelbagai lagi projek sedang giat dilaksanakan bagi merancakkan pembangunan wilayah berkenaan.
"Antara projek berimpak tinggi yang telah siap ialah pembinaan Jambatan Sungai Undop di Kampung Beleti (Rumah Kedeney), pemasangan sistem lampu isyarat pintar STILE di beberapa persimpangan utama Jalan Akses Sri Ama, projek mitigasi banjir di kawasan Kejamut serta kerja-kerja naik taraf Kampus Sarawak Skills Sri Aman," katanya ketika ditemu bual dalam program bersama Sarawak FM, pada Jumaat.
Dato Sri Rohani menambah, SADA memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan sebagai pemacu ekonomi Bahagian Sri Aman dengan disokong pembangunan infrastruktur yang mampan.
Katanya, sebanyak 12 projek pertanian bernilai lebih RM160 juta sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan sistem saliran dan pengairan, perlindungan tebing sungai, jalan ladang, projek ternakan tilapia, rumah burung walit serta kajian pembangunan ekosistem pengeluaran padi di kawasan Jelapang Batang Lupar.
Selain itu, sebanyak 21 projek pelancongan bernilai lebih RM10 juta turut dirancang dan dilaksanakan, antaranya pembangunan Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesong, Batang Ai, pusat warisan masyarakat pribumi, glamping, tapak perkhemahan, terminal pelawat, jeti, laluan hutan serta pelbagai kemudahan pelancongan lain.
"Setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar.
“SADA sentiasa memastikan pembangunan fizikal dilaksanakan secara lestari. Kami bekerjasama dengan WWF-Malaysia bagi memastikan projek infrastruktur tidak menjejaskan koridor habitat orang utan khususnya di kawasan Gunung Lesong dan Batang Ai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat pembangunan sektor ekopelancongan bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan belia, termasuk sebagai pemandu pelancong bertauliah dan pencipta kandungan digital yang mampu mempromosikan keunikan budaya serta produk pelancongan Sri Aman kepada pasaran lebih luas. -EDISI UKAS