SIBU: Cadangan penambahan 136 jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) melibatkan Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau telah dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi memperkukuh sistem kepimpinan masyarakat agar terus relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sehingga kini sebanyak 60 jawatan Ketua Masyarakat dan 1,003 jawatan Ketua Kaum telah diwujudkan di Bahagian Sibu.
"Bagi memastikan sistem kepimpinan masyarakat terus diperkukuh dan sentiasa relevan dengan keperluan semasa, cadangan pertambahan jawatan baharu telah pun dikemukakan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama KMKK Bahagian Sibu 2026 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai perincian cadangan struktur baharu itu, Datuk Michael Tiang menjelaskan pecahan jawatan melibatkan tiga daerah iaitu Daeah Sibu menyaksikan sebanyak 6 jawatan baharu Ketua Masyarakat dan 32 jawatan baharu Ketua Kaum dicadangkan, berbanding 35 jawatan Ketua Masyarakat dan 380 jawatan Ketua Kaum yang diluluskan sedia ada.
“Bagi, Daerah Kanowit, sebanyak 7 jawatan baharu Ketua Masyarakat dan 70 jawatan baharu Ketua Kaum dicadangkan, berbanding 15 jawatan Ketua Masyarakat dan 348 jawatan Ketua Kaum sedia ada.
“Daerah Selangau pula menyaksikam sebbanyak 1 jawatan baharu Ketua Masyarakat dan 10 jawatan baharu Ketua Kaum dicadangkan, berbanding 10 jawatan Ketua Masyarakat dan 275 jawatan Ketua Kaum sedia ada,” ujarnya.
Menurut beliau, peranan KMKK kini semakin penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat, selain menjadi nadi kepada penyampaian dasar serta pembangunan di peringkat akar umbi.
“Sebagai bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengorbanan tersebut, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan penambahbaikan kebajikan melalui peningkatan kadar elaun KMKK secara purata sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Kenaikan terbaharu ini menyaksikan elaun permulaan bulanan bagi Temenggong meningkat kepada RM2,000, Pemanca (RM1,700), Penghulu (RM1,500), manakala Ketua Kaum menerima RM1,300 sebulan. Inisiatif ini merupakan kesinambungan pelarasan elaun berkala yang telah bermula sejak tahun 1980,” jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Temenggung Stanley Gramong serta Temenggung Dato Vincent Lau.-EDISI UKAS