Sarawak Teliti Perluas Akses Perkhidmatan Pergigian Ke Kawasan Pedalaman
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti pendekatan bagi memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan pergigian ke kawasan pedalaman, termasuk melalui cadangan mengintegrasikan perkhidmatan tersebut dengan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) bagi memastikan penduduk di kawasan sukar diakses terus menerima rawatan yang diperlukan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian supaya lebih inklusif dan menyeluruh, khususnya kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman.
“Kita mahu memastikan tidak ada masyarakat di kawasan pedalaman yang tercicir daripada menerima perkhidmatan kesihatan pergigian. Sebab itu kita sedang meneliti kaedah penyampaian yang lebih berkesan, termasuk kemungkinan memanfaatkan Perkhidmatan Doktor Udara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2026 Peringkat Sarawak di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Sabtu.
Menurut Dato Hanifah, Sarawak kini mempunyai 53 fasiliti perkhidmatan pergigian tetap, selain disokong oleh lapan klinik pergigian bergerak yang menyediakan perkhidmatan di kawasan luar bandar melalui rangkaian jalan darat.
Bagi penempatan yang tidak mempunyai akses jalan raya, sebanyak 127 pasukan pergigian bergerak digerakkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, van dan bot bagi menjalankan pemeriksaan serta rawatan pergigian kepada penduduk.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menilai kaedah penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan bagi memastikan liputan kesihatan pergigian dapat diperluaskan mengikut keperluan masyarakat, terutama di kawasan pedalaman.
Dalam perkembangan sama, Dato Hanifah berkata sektor kesihatan masih memerlukan pertambahan tenaga kerja, termasuk doktor pergigian, pakar, jururawat dan kakitangan sokongan, bagi memperkukuh kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri.
“Kita masih memerlukan lebih ramai doktor pergigian, pakar, jururawat serta kakitangan sokongan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diperkukuh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Katanya, perkara itu akan terus dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti keperluan penambahan doktor pergigian, pakar, jururawat dan kakitangan sokongan dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan penjagaan kesihatan pergigian secara konsisten kerana kesihatan mulut yang baik merupakan antara komponen penting dalam menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup.
Turut hadir, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Misah Md Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Fauziah Ahmad, serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Banges Munga. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Lonney Jinab & Mohd Hisyam Arif