Bahagian 2: Sarawak Labur RM6.92 Bilion Bina 21 Jambatan Jalan Pesisir
Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri peneraju pembangunan infrastruktur apabila melabur RM6.92 bilion bagi pembinaan 21 jambatan utama di bawah projek jalan pesisir dan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Program Pembangunan Jalan Utama (RBTP). Inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan luar bandar, mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan pesisir dan pedalaman. Ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan sistem pengangkutan Sarawak.
Di bawah pelaburan besar itu, Jambatan Marudi merupakan jambatan pertama siap pada 10 November 2024 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. Kos pembinaannya bernilai RM116.5 juta itu merentasi Sungai Batang Baram. Jambatan ini menjadi komponen utama dalam projek mega Miri–Marudi–Mulu–Long Lama (MMMLL) Road Project yang sedang rancak dibina bagi menghubungkan rangkaian jalan darat terus ke Taman Negara Mulu menjelang tahun 2030.
Seterusnya, Jambatan Batang Lassa sepanjang 2.43 kilometer itu telah siap pada 9 Januari 2025 dan dibuka kepada umum. Menariknya, pembinaan jambatan tersebut berjaya disiapkan lebih awal dalam masa yang singkat dengan menggunakan kaedah pembiayaan alternatif berbanding kaedah konvensional. Ini merupakan kaedah pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia dan hasilnya sangat memuaskan.
Selain itu, Jambatan Batang Rajang yang kini dikenali sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman telah siap dan dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 17 Mei 2025. Jambatan sepanjang 1.44 kilometer ini melibatkan kos bernilai RM321.4 juta yang menggunakan kaedah balanced cantilever.
Dalam pada itu, Jambatan Bintulu-Jepak kini dikenali sebagai Jambatan Tun Abdul Taib Mahmud sepanjang 1.3 kilometer bernilai RM466.7 juta juga telah pun siap dan dibuka bagi kenderaan awam pada 23 Mac 2025. Siapnya jambatan ini telah membuka lembaran baharu kepada penduduk setempat terutamanya dari bandar Bintulu dan kawasan Jepak ke arah pembangunan lebih progresif pada masa hadapan serta mengurangkan kesesakan di kawasan bandar.
Ini diikuti Jambatan Batang Saribas 1 yang menghubungkan kawasan Pusa dan Beladin di Bahagian Betong yang telah pun siap dan dibuka kepada orang ramai pada 25 Mei 2025. Jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu merupakan komponen utama dalam Projek Jalan Pesisir Sarawak.
Sementara itu, Jambatan Sungai Lingga pula berukuran 724 meter kini telah siap sepenuhnya, tetapi belum lagi dibuka kepada umum. Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, struktur jambatan itu telah berjaya diselesaikan, manakala rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Sebuyau kini dalam fasa terakhir. Projek ini dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak di bawah pakej Jalan Utama Kedua Sarawak atau Second Trunk Road (STR).
Jambatan Datuk Amar Juma’ani atau dahulunya dikenali sebagai Jambatan Sungai Bintangor merupakan sebuah jambatan ikonik sebagai mercu tanda baharu di kawasan Bandaraya Kuching. Dirasmikan pada 5 Ogos 2025, jambatan bernilai RM50.6 juta dan sepanjang 108.5 meter itu merentasi Sungai Bintangor ini terletak di sepanjang Jalan Datuk Ajibah Abol dalam kawasan Satok.
Manakala, Jambatan Batang Kemena yang merentasi Sungai Kemena telah dibuka secara rasmi kepada umum pada 5 Disember 2025. Jambatan sepanjang 728.56 meter ini dengan kos pembinaannya mencecah RM76 juta itu telah menamatkan memendekkan masa perjalanan ke Lapangan Terbang Bintulu. Lebih menarik lagi, jambatan tersebut siap dua bulan lebih awal daripada jadual asal.
9 Jambatan Siap Pada 2026
Pada tahun ini dijangka 9 lagi jambatan akan siap. Kenyataan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bahawa tahun 2026 merupakan musim menuai jambatan sangat tepat dan dinantikan rakyat khususnya mereka yang tinggal di pesisir pantai dalam merasai akses pengangkutan yang sempurna dan selamat. Siapnya beberapa jambatan ini akan melengkapkan rangkaian jalan raya pesisir di Sarawak dan mencapai objektif utama PCDS 2030.
Pembukaan jambatan tahun 2026 menyaksikan Jambatan Batang Igan sepanjang 1.4 kilometer dengan kos RM285.5 juta telah siap dan dibuka sepenuhnya kepada orang awam pada 16 Mac 2026. Pembukaan ini sekali gus menamatkan perkhidmatan feri selama 30 tahun di kawasan tersebut dan mempercepatkan perhubungan di Bahagian Mukah.
Jambatan Sungai Krian yang berukuran 1.227 kilometer termasuk jajaran jalan bernilai RM112.4 juta menghubungkan Pusa dan Kabong telah pun dibuka pada 18 Mac 2026 sekali gus menceriakan penduduk yang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2026. Jambatan ini menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Jambatan Batang Saribas 2 ke persimpangan Roban di Lebuh Raya Pan Borneo.
Baru-baru ini, Jambatan Batang Lupar 1 yang merupakan jambatan sungai terpanjang di Malaysia telah dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 21 Mei 2026. Berukuran 4.844 kilometer, membolehkan Jambatan Batang Lupar 1 yang menghubungkan Sebuyau di Bahagian Samarahan dan Triso di Bahagian Betong berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Jambatan Sungai Johor yang berukuran 1.7 kilometer. Menariknya, kos pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 ini menggunakan sepenuhnya dana Kerajaan Sarawak dengan kos sebanyak RM848.75 juta.
Jambatan Batang Paloh yang bernilai RM298.49 juta yang menghubungkan jaringan jalan pesisir Sarawak dijangka siap Oktober 2026. Jambatan ini menghubungkan kawasan Pulau Bruit terus ke Matu-Daro, Sibu, Tanjung Manis dan pulau-pulau sekitarnya.
Dalam pada itu, Jambatan Sejingkat merupakan infrastruktur penting di Sarawak dan kini sedang giat dilaksanakan. Jambatan sepanjang 1.3 kilometer yang merentasi Sungai Sarawak bertujuan menghubungkan kawasan Sejingkat di Kuching Utara dan terus ke Tanjung Bako di Bahagian Samarahan. Projek bernilai RM365.9 juta ini mula dibina pada tahun 2021 dan dijangka siap tahun 2026.
Sementara itu, Jambatan Batang Saribas 2 yang panjangnya 2.39 kilometer dibina di Pusa, Betong dijangka akan dibuka kepada laluan trafik pada November 2026. Kos pembinaan jambatan tersebut bernilai RM385 juta. Projek ini dibina secara usaha sama antara syarikat China dan tempatan.
Jambatan Batang Rambungan yang dilengkapi dua menara utama dengan sembilan kabel penahan setiap menara sepanjang 560 meter merentasi Sungai Batang Rambungan dijangka siap penghujung tahun ini. Projek pembinaannya kini menggunakan dana Kerajaan Sarawak bernilai RM82 juta. Jambatan ini merupakan infrastruktur penting dan akan menjadi jambatan utama bagi laluan Jalan Pesisir Sarawak khususnya di kawasan Sempadi – Lundu.
Jambatan Batang Lupar 2 pula sepanjang 870 meter dengan kos pembinaannya sebanyak RM223.6 juta menghubungkan Sri Aman dengan Lidong di Bahagian Betong dijangka siap tahun 2026. Dengan ketinggian yang bakal mencatat rekod dalam 'Guinness Book of Records' sebagai Jambatan 'Cable-Stayed' tertinggi di Malaysia, ia dijangka menjadi daya tarikan pelancong yang ingin menikmati keindahan panorama dan fenomena benak Batang Lupar.
Terletak di utara Sarawak, Jambatan Sungai Limbang yang bernilai RM120 juta dan panjang 722 meter dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai antara September hingga Oktober 2026. Jambatan ini di bawah pelan pembangunan rangkaian jalan raya lebih besar sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan di jajaran Lebuh raya Pesisir Pantai Utara atau Northern Coastal Highway dan jalan pintas Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2.
Jambatan Sungai Limbang Baharu atau dikenali sebagai Jambatan Kedua Sungai Limbang) merupakan projek infrastruktur jenis jambatan kabel (cable-stayed) bernilai RM188 juta yang menghubungkan bandar Limbang dengan kawasan seberang sungai serta memendekkan masa perjalanan ke Brunei Darussalam. Jambatan strategik ini dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan sekitar April hingga Jun 2026.
3 Jambatan Dijangka Siap Tahun 2027 Hingga 2030
Dalam pada itu, tiga lagi jambatan masih dalam pembinaan antaranya Jambatan Batang Samarahan 2, Jambatan Marina dan Jambatan Kuala Lawas. Pembinaan Jambatan Batang Samarahan 2 di bawah projek Jalan Utama Kedua merupakan jambatan baharu yang dibina pada Oktober 2023. Projek bernilai RM529.8 juta itu dari Batang Samarahan ke Batang Sadong dijangka siap pada Februari 2027.
Jambatan Marina merupakan projek infrastruktur jambatan kabel berprestij bernilai RM450 juta yang sedang dibina merentasi Sungai Miri. Jambatan ini menghubungkan Marina Bay dan Kampung Pulau Melayu di Bandaraya Miri, Sarawak. Projek mega di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak ini dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mei 2029.
Jambatan Kuala Lawas ialah salah satu daripada dua buah jambatan ikonik yang dibina di bawah projek mega Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) di bahagian utara Sarawak. Projek infrastruktur sepanjang 87.96 kilometer ini merangkumi Limbang dan Lawas direka khusus untuk memperkukuh rangkaian logistik, memendekkan masa perjalanan, serta menghubungkan Sarawak secara terus dengan Sabah tanpa perlu melalui sempadan Brunei. Jambatan ini dijadualkan siap secara berfasa sehingga tahun 2030.
Keseluruhannya, pelaburan sebanyak RM6.92 bilion oleh Kerajaan Sarawak dalam pembinaan 21 jambatan utama merupakan langkah strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan negeri. Projek ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan pengangkutan darat, malah menghapuskan halangan geografi seperti sungai besar yang selama ini memisahkan komuniti luar bandar dan pesisir. Dengan siapnya rangkaian jambatan ini, Sarawak dijangka menikmati sistem perhubungan yang lebih cekap, peningkatan aktiviti ekonomi serta kesejahteraan rakyat yang lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.