Penghargaan Pemimpin Terdahulu Perlu Terus Dipupuk Demi Kemajuan Sarawak
SARIKEI: Penghargaan terhadap jasa pemimpin terdahulu serta penghayatan sejarah negeri perlu terus dipupuk sebagai asas memperkukuh perpaduan dan memastikan Sarawak kekal maju, stabil serta inklusif.
Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anwar Hanafi Ardimansyah berkata, kemajuan yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan hasil kesinambungan kepimpinan terdahulu bersama sokongan padu rakyat dalam membangunkan negeri.
Menurut beliau, generasi masa kini perlu memahami sejarah Sarawak agar dapat menghargai perjuangan, pengorbanan dan usaha yang telah membentuk landskap pembangunan negeri sehingga ke hari ini.
“Perjalanan Sarawak sehingga ke tahap hari ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia terbina melalui kepimpinan, usaha dan kerjasama rakyat yang sentiasa bersama-sama menghadapi cabaran.
“Kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan, tetapi keupayaan kita untuk mengekalkan keamanan, menghormati perbezaan dan bersama-sama membangunkan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Konvoi Bermotosikal Semarak Kemerdekaan 2026 di pekarangan Pusat Khidmat DUN Repok, di sini, pada Sabtu.
Anwar berkata, sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai setiap tahun merupakan detik bersejarah apabila Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala pewartaan tarikh tersebut sebagai cuti umum bermula tahun 2016 oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan sejarah Sarawak.
Beliau berkata, penganjuran Program Semarak Kemerdekaan di seluruh Sarawak menjadi platform untuk mendekatkan rakyat dengan sejarah negeri, di samping menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan Sarawak menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program Semarak Kemerdekaan 2026 dianjurkan di 12 bahagian seluruh Sarawak dengan Bahagian Sarikei menjadi lokasi keenam sebelum diteruskan ke bahagian lain dan berakhir di Miri.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), ekonomi digital, ekonomi hidrogen serta penerokaan industri aeroangkasa.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri kekal komited memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Bantuan Kewangan Khas (BKK), Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Endowment Fund Sarawak (EFS).
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus berganding bahu menyokong agenda pembangunan negeri kerana gabungan kepimpinan yang berwawasan serta sokongan rakyat merupakan kunci kepada kemajuan Sarawak yang mampan dan sejahtera.- EDISI UKAS