AirBorneo Sasar Berkembang Secara Organik, Pemangkin Transformasi Ekonomi Sarawak
KUCHING: AirBorneo akan dibangunkan secara organik sebagai syarikat penerbangan strategik milik Sarawak bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri dengan aspirasi menjadi pemangkin transformasi seperti yang dicapai Emirates di Dubai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, AirBorneo akan berkembang secara berperingkat dan menjadi antara sektor strategik dalam industri perkhidmatan Sarawak.
Beliau berkata, pengalaman melihat pembangunan Dubai yang dipacu oleh Emirates menjadi antara inspirasi kepada hala tuju AirBorneo.
“Kita mahu mengembangkan syarikat penerbangan ini secara organik dan ia menjadi satu daripada sektor strategik dalam industri perkhidmatan.
“Saya pernah menyebut pada akhir 70-an, saya pernah pergi ke Dubai. Dubai bukanlah apa-apa. Tetapi Dubai hari ini, anda boleh melihat Dubai kerana Emirates dan bagaimana syarikat itu diuruskan.
“Dengan latar belakang itu, sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu yang berkembang secara organik, saya berharap Sarawak akan menjadi seperti Dubai selepas 2030 kerana Dubai tidak mempunyai sumber, tetapi kita mempunyai sumber, dasar pendidikan yang baik serta sedang meneroka ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan AirBorneo akan memulakan penerbangan ke Singapura sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.
Selain itu, menurutnya, pesawat ATR sedia ada akan digantikan secara berperingkat dengan pesawat ATR baharu yang lebih moden mulai tahun hadapan, manakala konfigurasi kabin juga akan dipertingkatkan bagi menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Airways Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo Airways, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways Sdn. Bhd. Megat Adrian Wira Mohd Aminuddin serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie