PETROS Catat Sejarah, Keluar Minyak Pertama Dari Lapangan Adong Kechil West
SIBU: Sarawak melakar satu lagi sejarah dalam industri tenaga apabila syarikat minyak dan gas milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berjaya mengeluarkan minyak pertamanya dari Lapangan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi sekali gus menandakan kemunculan semula pengeluaran minyak darat selepas lebih lima dekad.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan yang mencatatkan pengeluaran awal sebanyak 800 tong sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan itu merupakan hadiah istimewa kepada rakyat Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Menurut beliau, pencapaian bersejarah itu membuktikan keupayaan anak Sarawak menerajui industri minyak dan gas serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pemain utama dalam rantaian nilai tenaga, khususnya bagi pembangunan industri hiliran seperti ammonia dan hidrogen biru.
“Pencapaian ini menunjukkan keupayaan kejuruteraan rakyat Sarawak, sekali gus membuktikan bahawa Sarawak dilengkapi dengan baik untuk menjadi pemain yang kukuh dalam industri minyak dan gas, termasuk derivatif daripada gas metana.
“Inilah yang besar kepada Sarawak dalam kita meraikan Hari Sarawak pada tahun ini. Sekarang Sarawak adalah pemain yang besar dalam industri minyak dan gas yang diusahakan anak Sarawak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini, pada Rabu.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak turut mengumumkan satu lagi berita gembira apabila syarikat penerbangan AirBorneo memulakan penerbangan terus Kuching-Singapura bermula hari ini.
Beliau menambah, selepas kejayaan penerbangan sulung Kuching-Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu, AirBorneo dijangka membuka laluan Kuching-Jakarta dalam tempoh dua bulan akan datang.
Menurut beliau, perkembangan itu mencerminkan keyakinan Kerajaan Sarawak terhadap keupayaan negeri membangunkan sistem pengangkutan yang moden, cekap dan berdaya saing.
“AirBorneo merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan hubungan, merangsang perdagangan, memperluaskan sektor pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
“AirBorneo juga melengkapkan ekosistem pengangkutan moden yang sedang kita bangunkan melalui pelabuhan, jaringan jalan raya, lapangan terbang serta sistem Autonomous Rapid Transit (ART). Kesemua inisiatif ini saling melengkapi dalam mewujudkan rangkaian mobiliti yang lebih cekap, mampan dan bersepadu,” katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak ketika sesi Townhall Hari Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memaklumkan beliau akan mengumumkan berita gembira sebagai hadiah kepada rakyat sempena Hari Sarawak 2026.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026 Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS