Sarawak AI Blueprint Perkukuh Hala Tuju Pembangunan AI Negeri
KUCHING: Sarawak AI Blueprint akan menjadi panduan penting dalam memastikan pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di negeri ini dilaksanakan secara terancang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, AI bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya akan menjadi tonggak penting kepada pertumbuhan ekonomi, justeru pelaksanaannya perlu dirancang dengan teliti agar semua pihak dapat bergerak ke arah aspirasi yang sama.
"Jika kita memutuskan untuk melakukannya, kita pastikan kita melakukannya pada tahap yang terbaik.
"Tetapi bagaimana kita akan memastikan bahawa kita akan melakukan yang terbaik? Perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah merancang.
“Jadi kita ingin idea adaptasi AI di Sarawak ini menjadi pelan tindakan yang dirancang dengan baik di mana semua orang boleh bergerak ke arah yang sama dan mencapai aspirasi yang sama atau lebih baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Sarawak Artificial Intelligence Blueprint Kick-Off Journey Event’ anjuran Sarawak Artificial Intelligence Centre Sdn. Bhd. (SAIC) dan Sarawak Civil Service Digitalisation Unit (SCSDU), di sini, pada Isnin.
Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah menambah, pelan induk tersebut akan dibangunkan berdasarkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak yang akan dirumus bagi menghasilkan hala tuju pembangunan AI yang jelas untuk Sarawak.
Beliau berkata, kejayaan pembangunan AI bergantung kepada penyediaan infrastruktur digital yang kukuh, modal insan berkemahiran serta penglibatan pemain industri, institusi akademik dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan integriti dan keselamatan data perlu diberi perhatian kerana kualiti data akan menentukan ketepatan hasil yang dijana oleh sistem AI, selain menggalakkan budaya perkongsian data secara bertanggungjawab.
Beliau turut menekankan bahawa rangka kerja pelan induk itu perlu dibangunkan secara telus bagi memastikan penyertaan semua pihak secara adil.
Program yang menghimpunkan lebih 250 peserta daripada agensi Kerajaan Sarawak, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemain industri, institusi akademik dan institusi penyelidikan itu merupakan permulaan kepada pembangunan Sarawak AI Blueprint, yang akan merangka hala tuju penggunaan AI bagi memacu pembangunan ekonomi negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta keutamaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pelan tindakan itu akan dibangunkan berteraskan lima tunjang utama iaitu transformasi kerajaan; teknologi, data dan keselamatan siber; dasar dan tadbir urus; sektor ekonomi dan pembangunan perniagaan; serta asas pembangunan yang merangkumi infrastruktur AI, bakat dan kemahiran, inovasi, penyelidikan serta pembangunan, dan budaya.
Turut hadir semasa program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SAIC, Profesor Dr Patrick Then, Pengarah SCSDU Datu Grace Huong Siew Hung, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Busiai Seman, wakil Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak Dr Lu Jye Ying, Ketua Saintis dan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Profesor Jugdutt (Jack) Singh, Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia Nurul A'in Abdul Latif, Ketua-ketua Jabatan dan pemimpin kanan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS