Ahli Parlimen Sarikei Umum Dana Tambahan Kepada Kelab Bola Keranjang Repok, Sokong Pembangunan Sukan
SARIKEI: Kelab Bola Keranjang Repok menerima suntikan dana tambahan sebanyak RM20,000 daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti pembangunan sukan di kawasan itu.
Sumbangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada kelab berkenaan meningkat kepada RM40,000, termasuk RM20,000 yang diumumkan semasa Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah 2026 minggu lalu.
Menurut Dato’ Sri Huang, sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan penting bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat, di samping memupuk disiplin, semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kejayaan sesebuah pasukan tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil latihan yang konsisten, kerjasama erat serta kepercayaan antara rakan sepasukan.
“Kemenangan hari ini bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Jamuan Pahlawan Kejohanan Bola Keranjang sempena Kejohanan Bola Keranjang Bahagian Sarikei 2026 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu mengingatkan pasukan yang belum berjaya agar tidak berputus asa kerana setiap kekalahan merupakan pengalaman berharga yang mampu membentuk mereka menjadi lebih kuat dan bersedia menghadapi pertandingan akan datang.
Menurutnya, kejohanan tersebut bukan sekadar medan merebut kejuaraan, malah menjadi platform mengeratkan persahabatan, memupuk semangat berpasukan serta menyemai sikap saling menghormati dalam kalangan pemain.-EDISI UKAS