Kerjasama Strategik Perkukuh Pemuliharaan Biodiversiti Marin Di Sarawak
BINTULU: Kerjasama erat antara kerajaan dan sektor korporat dalam usaha memelihara biodiversiti marin terus diperkukuh menerusi penurunan 80 unit tukun bebola tiruan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata inisiatif itu bukan sahaja menyokong usaha pemulihan ekosistem marin, malah memberi manfaat kepada komuniti nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, pemasangan tukun bebola tiruan mampu meningkatkan habitat pembiakan ikan dan hidupan marin, selain membantu mengurangkan pencerobohan bot pukat tunda yang menjejaskan kawasan perikanan tradisional.
“Program ini akan memberi banyak manfaat, terutama dalam usaha memulihkan ekosistem marin. Sudah tentu ikan akan membiak dan bertambah, begitu juga hidupan laut lain seperti terumbu karang.
“Ini sudah tentu akan menguntungkan para nelayan di kawasan ini, khususnya penduduk Kampung Nyalau kerana lebih 50 peratus daripada mereka bergantung kepada aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada media selepas Program Penurunan Tukun Bebola Tiruan di Perairan Kuala Nyalau-Samalaju pada Khamis.
Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, pelaksanaan projek tukun bebola di Sarawak digerakkan menerusi kerjasama kerajaan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pendekatan itu membolehkan lebih banyak projek pemuliharaan habitat marin dilaksanakan secara mampan di seluruh negeri.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan kerjasama Pembinaan Tukun Bebola (Sarawak) Sdn. Bhd. (PTBSB), SFC dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB).
Sebanyak 80 unit tukun bebola terdiri daripada 26 Ultra Ball, 46 Bay Ball dan lapan Layer Cake Reef Ball diturunkan pada program berkenaan.
Sejak 2022, PTBSB telah menyumbang 467 unit tukun bebola di beberapa lokasi di Sarawak, manakala projek itu merupakan sebahagian daripada sasaran jangka panjang penempatan 5,000 unit tukun bebola di seluruh negeri.
Turut hadir pada program ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani.-EDISI UKAS