Sekolah Daif di DUN Bukit Begunan Perlu Diberi Keutamaan
SRI AMAN: Usaha menaik taraf beberapa sekolah daif di DUN Bukit Begunan perlu diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan murid serta guru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, daripada 12 sekolah rendah di kawasan itu, beberapa daripadanya masih berdepan masalah infrastruktur yang uzur dan tidak lagi selamat digunakan.
Menurut beliau, antara sekolah yang memerlukan perhatian segera ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Engkranji yang berdepan masalah dinding kayu di bilik kakitangan guru yang berisiko runtuh pada bila-bila masa.
“Keadaan sama turut berlaku di kuarters guru SK Selepong yang sudah uzur dengan lantai kayu yang berisiko roboh dan tidak lagi selamat didiami oleh para guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak Menggunakan Peruntukan RM1 Bilion di SK Melugu, di sini pada Jumaat.
Selain itu, Datuk Mong turut membangkitkan isu bangunan lama di SK Tanjung Bijat yang menurutnya perlu dirobohkan kerana tidak lagi selamat digunakan.
Beliau berkata, walaupun sekolah itu telah menerima bangunan baharu, kewujudan struktur lama berkenaan bukan sahaja menimbulkan risiko keselamatan, malah menyukarkan sebarang perancangan pembangunan pada masa hadapan.
“Saya telah membangkitkan perkara ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini dan ia turut mendapat persetujuan Lembaga Pemeriksa Pelupusan Aset. Namun sehingga kini, bangunan usang tersebut masih belum dirobohkan.
“Saya berharap MEITD dapat bekerjasama dengan KPM bagi mempercepatkan penyelesaian isu ini demi kebajikan dan keselamatan murid serta guru di sekolah-sekolah terbabit,” katanya.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee; Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damien Rijek; wakil Residen Sri Aman, Napoleon Muda Jubin serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS