Insentif Pendidikan DUN Nangka Berjumlah RM757,500 Manfaatkan 1,515 Pelajar
SIBU: Insentif pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berjumlah RM757,500 memberikan manfaat langsung kepada 1,515 pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan Tingkatan Enam sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, bantuan kewangan tersebut disalurkan secara sama rata kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian tanpa mengira latar belakang.
“Kita beri sama rata. Mana-mana pelajar yang dapat masuk Tingkatan Enam, politeknik ataupun institusi pengajian tinggi, mereka akan mendapat bantuan sama rata,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Silaturahim Pelajar DUN Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, bantuan kewangan kepada pelajar tahun pertama akan diteruskan sebagai usaha memastikan lebih ramai anak muda di kawasan Nangka berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibelenggu kekangan kewangan.
Menurut beliau, pelaburan berterusan dalam pendidikan merupakan langkah strategik untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak serta menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa mengutamakan kecemerlangan akademik dan tidak sekadar berpuas hati dengan pencapaian sederhana, sebaliknya terus berusaha mencapai prestasi terbaik.
“Apabila anda kembali, janganlah hanya sekadar melawat keluarga, tetapi turutlah menyumbang dan membantu masyarakat serta komuniti di Sibu,” katanya.
Beliau berkata, graduan yang menamatkan pengajian di luar kawasan digalakkan kembali berkhidmat di Sibu agar ilmu, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan bandar serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi dan Kaunselor Syed Hamzah Wan Hamid Edruce. -EDISI UKAS