Integriti, Tadbir Urus Kukuh Perkasa Keyakinan Pelabur di Sarawak
KUCHING: Integriti dan tadbir urus yang kukuh merupakan kelebihan strategik dalam memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan pembangunan Sarawak terus berkembang secara mampan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelabur kini bukan sahaja menilai kemudahan fizikal, tetapi turut mengambil kira kekuatan institusi, ketelusan proses, kestabilan dasar dan tahap integriti.
Menurut beliau, bagi Sarawak yang sedang melaksanakan pelbagai projek pembangunan strategik, tadbir urus yang kukuh menjadi semakin penting kerana integriti kini menjadi satu kelebihan strategik dalam ekonomi global.
“Oleh sebab itu, Sarawak akan terus memperkukuhkan budaya tadbir urus yang baik kerana integriti ini merupakan satu kelebihan strategik dalam ekonomi global.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan menerusi Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi penekanan kepada pengukuhan integriti, ketelusan dan ekonomi yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak di CIDB Sarawak, di sini, pada Khamis.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, integriti bukan hanya tanggungjawab satu pihak, malah perlu dipikul bersama oleh kontraktor, perunding, pembekal, pegawai teknikal, agensi pelaksana dan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembangunan.
Menurutnya, setiap pihak perlu memastikan persaingan dalam industri pembinaan berasaskan merit, keupayaan, inovasi dan kualiti, manakala kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan siapnya sesebuah struktur, tetapi juga nilai, impak dan manfaat yang diberikan kepada rakyat.
Ujar beliau lagi, integriti tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu dibina melalui sistem kukuh, proses telus dan budaya kerja beramanah.
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi CIDB Malaysia Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab, Pengarah SPRM Sarawak Dato Hasbilah Mohamad Salleh serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS