BINTULU: Pesta Tumbina 2026 menyasarkan kehadiran antara 55,000 hingga 65,000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama tiga hari, sekali gus memperkukuh kedudukan Taman Tumbina sebagai destinasi rekreasi, pendidikan dan pelancongan utama di Bahagian Bintulu.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, sasaran itu mengambil kira sambutan luar biasa terhadap Pesta Tumbina tahun lalu yang berjaya menarik hampir 60,000 pengunjung.
Katanya, peningkatan jumlah pengunjung sejak empat tahun lalu membuktikan Pesta Tumbina semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hasil kerjasama erat antara BDA, rakan strategik dan pelbagai agensi dalam menyediakan pengisian yang menarik.
“Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Pesta Tumbina bermula empat tahun lalu dengan jumlah pengunjung kurang daripada 10,000 orang.
“Pada tahun berikutnya, jumlah itu meningkat kepada kira-kira 15,000 orang sebelum melonjak kepada hampir 60,000 pengunjung pada 2025.
“Justeru, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Tumbina atas usaha gigih memastikan Pesta Tumbina berjaya, bukan sahaja dari segi penganjuran, malah sambutan orang ramai.
“Insya-Allah, jika cuaca mengizinkan, saya yakin rekod itu akan kita pecahkan pada tahun ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Tumbina 2026 sempena ulang tahun ke-35 Taman Tumbina Bintulu di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, Pesta Tumbina bukan sekadar menyediakan ruang rekreasi dan hiburan kepada masyarakat, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti dan tanggungjawab bersama dalam memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.
Beliau berharap penganjuran festival itu dapat terus memperkukuh kedudukan Taman Tumbina sebagai destinasi rekreasi, pendidikan dan pelancongan, di samping memupuk budaya cintakan alam sekitar, memperkasakan penglibatan komuniti serta menggalakkan amalan pembangunan mampan dalam kalangan masyarakat.
Pesta Tumbina 2026 dianjurkan BDA dengan kerjasama rakan strategik Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) serta pelbagai agensi dan organisasi, antaranya Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rejimen 510 Askar Wataniah dan beberapa rakan industri bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan di Bintulu.
Sepanjang tiga hari penganjurannya, pengunjung disajikan pelbagai aktiviti termasuk Tumbina Night Walk, Nature Walk, STEAM Explorace, pameran flora dan fauna, jualan kraftangan, pertandingan mewarna, persembahan hiburan serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari.-EDISI UKAS