Hampir RM80,000 Sumbangan Amal Berjaya Dikumpul Sempena Kuching Festival 2026
KUCHING: Hampir RM80,000 sumbangan amal berjaya dikumpulkan menerusi penganjuran Kuching Festival 2026, sekali gus mencatat jumlah kutipan tertinggi sejak festival berkenaan diperkenalkan kira-kira 40 tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah sumbangan berkenaan mencerminkan keikhlasan dan keprihatinan para peniaga gerai dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Bukan jumlahnya tetapi keikhlasan dari hati untuk kita tidak melupakan anak Sarawak yang memerlukan bantuan,” katanya pada Malam Penyerahan Hadiah Dan Sumbangan Amal 2026, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, Kuching Festival bukan sekadar platform untuk masyarakat menikmati pelbagai juadah dan aktiviti, malah turut memperlihatkan semangat kebersamaan apabila para peniaga saling membantu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Katanya, semangat tersebut selaras dengan konsep keharmonian masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum yang dapat duduk bersama, berniaga bersama dan membantu antara satu sama lain.
Dalam majlis sama, Datuk Amar Dr Sim turut menyampaikan sumbangan amal kepada 22 pertubuhan dan badan kebajikan yang menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dalam pelbagai bidang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peniaga gerai Kuching Festival yang terus menunjukkan komitmen dalam menyokong golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS