Bola Tampar Pantai Wanita Sarawak Raih Gangsa SUKMA XXII
SELANGOR: Skuad bola tampar pantai wanita Sarawak menamatkan saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pingat gangsa selepas menewaskan Perak A 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga pada Sabtu.
Dalam perlawanan di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA Seksyen 19, gandingan Sarawak A, Stacy Usun Yesayah dan Jacqueline Yek Yi Jun tampil meyakinkan untuk mencatat kemenangan dua set berturut-turut.
Pasangan Sarawak menguasai set pertama dengan kemenangan 21-12 sebelum meneruskan momentum pada set kedua untuk menundukkan gandingan Perak A, Jing Shi dan Cheah Jing Wen, 21-13.
Kemenangan itu sekali gus memastikan pingat gangsa menjadi milik Sarawak.
Terdahulu, Sarawak A terpaksa akur kepada Selangor A 0-2 pada aksi separuh akhir selepas tewas 13-21 pada set pertama dan 14-21 pada set kedua.
Pencapaian itu turut mencatat sejarah buat skuad bola tampar pantai wanita Sarawak yang sebelum ini berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam penyertaan mereka di pentas SUKMA.
Kejayaan meraih gangsa sekali gus membuktikan peningkatan prestasi skuad wanita Sarawak serta menjadi suntikan semangat untuk terus memperkukuh cabaran pada kejohanan akan datang. -EDISI UKAS