IWCT Perkasa Kraf Iban, Pastikan Warisan Terus Dipelihara
KUCHING: Iban Women Charitable Trust (IWCT) akan terus memperkasa kraf tradisional Iban dengan meningkatkan kualiti hasil kraf, memperluas potensi komersial serta membantu menjana pendapatan masyarakat luar bandar.
Pengerusi IWCT, Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu berkata, usaha itu penting bagi memastikan kraf Iban terus dipelihara sebagai warisan dan identiti masyarakat, di samping memberi manfaat ekonomi kepada penggiatnya.
“Kraf merupakan sebahagian penting daripada identiti dan warisan kita kerana ia mencerminkan sejarah, kepercayaan, nilai serta cara hidup masyarakat. Memelihara kraf bermakna memelihara identiti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf IWCT 2025/2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Sarawak Chamber Ballroom, Riverside Majestic Hotel, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, usaha memelihara warisan itu turut memerlukan penglibatan generasi muda dengan memanfaatkan teknologi dan platform moden bagi memastikan kraf tradisional kekal relevan.
“Kita memerlukan golongan muda untuk bersama-sama meneruskan usaha ini dengan membawa idea baharu serta menggunakan teknologi dan platform moden untuk memastikan budaya kita terus berkembang dalam dunia hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pertandingan Pekit Pengelandik Jari 2025/2026 menyaksikan sebanyak 122 hasil kraf dipertandingkan dalam sembilan kategori, antaranya Tikai Bemban Anyam Bebuah, Pua Kumbu, Kain Kebat, Kain Karap, Marik Empang/Tanggu, Baju Kuas serta tiga kategori parang tradisional.
Penganjuran kali ini turut memperkenalkan pertukangan besi atau ‘ngambuh’ buat pertama kali.
Seramai 90 peserta terdiri daripada 71 wanita dan 19 lelaki telah mengambil bahagian, dengan peserta termuda berusia 19 tahun dan tertua 81 tahun.
Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai RM3,500 bagi tempat pertama, RM2,500 bagi tempat kedua dan RM1,500 bagi tempat ketiga, berserta sijil dan trofi.
Pertandingan yang dianjurkan IWCT sejak 2013 itu menjadi platform mengetengahkan kemahiran penggiat kraf serta memastikan warisan berkenaan terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Turut hadir, Penasihat IWCT, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang serta Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS