RM194,000 MRP Sokong Aktiviti Komuniti DUN Jemoreng
MATU: Sebanyak 33 cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM194,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab serta persatuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membantu melancarkan pelaksanaan aktiviti yang dirancang oleh organisasi terbabit, termasuk program gotong-royong dan kegiatan kemasyarakatan sepanjang tahun.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian cek berkenaan dalam satu majlis di Pejabat Daerah Matu, di sini pada Selasa.
Difahamkan, daripada keseluruhan penerima, 13 terdiri daripada JKKK manakala 20 lagi merupakan kelab dan persatuan yang menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu pada masa sama mengingatkan semua penerima supaya menguruskan peruntukan secara berhemah serta memastikan setiap perbelanjaan direkodkan dan dilaporkan kepada Pusat Khidmat Jemoreng.
Katanya, rekod dan laporan perbelanjaan yang lengkap penting bagi memudahkan proses pertimbangan serta penyaluran peruntukan untuk aktiviti seterusnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa penyaluran MRP berkenaan mencerminkan sokongan terhadap peranan JKKK, kelab dan persatuan dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi. -EDISI UKAS