Pelebaran Sementara Lorong Cahaya 3 Dicadang Atasi Kesesakan Taman Lopeng Baru
MIRI: Pelebaran sementara dan pembinaan lorong tambahan di persimpangan Lorong Cahaya 3 dicadangkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menjejaskan penduduk Taman Lopeng Baru.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, selepas mengadakan lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi utiliti berkaitan di lokasi berkenaan, pada Selasa.
Menurut beliau, Jalan Cahaya merupakan laluan utama yang menghubungkan Lapangan Terbang Miri dengan Lebuh Raya Miri-Bintulu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan terutama pada waktu puncak.
“Pada masa ini, jalan keluar dari kawasan perumahan hanya mempunyai satu lorong. Semua kenderaan sama ada ingin membelok ke kiri atau ke kanan terpaksa menggunakan lorong yang sama, menyebabkan kesesakan serius hingga berlarutan ke dalam kawasan perumahan,” jelasnya.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, projek menaik taraf Jalan Cahaya kepada jalan dua hala berasingan (dual carriageway) telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), namun masih berada di peringkat reka bentuk oleh pihak perunding dan dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan penyelesaian jangka pendek dilaksanakan segera tanpa menunggu projek jangka panjang tersebut.
Lawatan tersebut turut melibatkan wakil daripada JKR, Sarawak Energy, Sarawak Gas dan Sarawak Water bagi memastikan pelaksanaan cadangan tidak menjejaskan kemudahan utiliti sedia ada, memandangkan kawasan tersebut mempunyai rangkaian kabel dan utiliti bawah tanah yang kompleks.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan berkenaan juga dibuat berdasarkan maklum balas penduduk setempat yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesesakan yang semakin ketara di kawasan tersebut.
“JKR akan menyediakan anggaran kos bagi kerja-kerja pelebaran ini dan kita akan mendapatkan peruntukan yang diperlukan supaya langkah sementara ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya.-EDISI UKAS