Bangunan Lama R&DO Miri Bakal Diberi Fungsi Baharu
MIRI: Bangunan Lama Residen dan Pejabat Daerah (R&DO) Miri akan terus dipelihara sebagai bangunan warisan, di samping diberi fungsi baharu selaras dengan pembangunan masa depan bandar raya Miri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, mesyuarat penyelarasan yang diadakan hari ini merupakan langkah awal bagi menentukan hala tuju pengurusan dan cadangan penyerahan bangunan berkenaan.
Menurut beliau, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memutuskan supaya bangunan tersebut dimanfaatkan untuk cadangan pembangunan Universiti Fudan Kampus Bandaraya Miri.
“Kerajaan negeri telah meluluskan RM500,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak bagi kajian awal termasuk Laporan Dilapidasi dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan (CMP) yang kini telah siap,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan berkaitan pengurusan bangunan berkenaan.
Datuk Sebastian berkata, sebarang pengurusan dan pemuliharaan bangunan berkenaan perlu mematuhi Ordinan Warisan Sarawak 2019 (Cap. 77), termasuk mendapatkan pertimbangan atau arahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta kelulusan Menteri sebelum pelantikan ejen pengurusan dimuktamadkan.
Katanya, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bersama agensi berkaitan perlu menetapkan terma dan syarat pengurusan meliputi penggunaan, pemuliharaan, penyelenggaraan, pengubahsuaian, pembiayaan serta pemantauan.
Langkah itu penting bagi memastikan bangunan bersejarah berkenaan terus dipelihara, selain dapat dimanfaatkan dengan fungsi baharu yang bersesuaian dengan pembangunan Miri.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Anielia Siam dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen. -EDISI UKAS