Malaysia, Brunei Cari Kaedah Permudah Perjalanan Ke Sarawak, Sabah
BANDAR SERI BEGAWAN: Usaha sedang digerakkan bagi mempermudah urusan perjalanan penduduk antara Brunei Darussalam, Sarawak dan Sabah, khususnya melibatkan prosedur di pusat pemeriksaan imigresen.
Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei, selain isu sempadan darat, laut serta kerjasama dalam sektor minyak dan gas.
“Ada juga perbincangan berkenaan cara untuk mempermudahkan laluan kedua-dua penduduk, daripada Brunei Darussalam ke Sarawak dan juga ke Sabah kerana ada banyak pusat pemeriksaan imigresen, ada lapan kena buat pergi dan balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, kedua-dua negara telah meminta jawatankuasa teknikal untuk meneruskan perbincangan bagi mencari kaedah terbaik untuk mempermudah urusan perjalanan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan sempadan darat, beliau berkata kira-kira 50 peratus isu telah diselesaikan, khususnya melibatkan penandaan sempadan di lapangan.
Katanya, penandaan berkenaan akan diselaraskan berdasarkan terma rujukan (TOR) 2009 serta laporan jawatankuasa teknikal di lapangan sebelum dijadikan asas untuk memuktamadkan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Sementara itu, beliau berkata semua perkara berkaitan kerjasama antara PETRONAS Carigali dan Syarikat Minyak Brunei telah diselesaikan, dengan pengeluaran gas pertama daripada eksplorasi laut dalam Kledang dijangka bermula pada awal 2029.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Azzrie Mohamad Jeman