Y-HARVEST 3.0 Perkasa Belia, Komuniti Melalui Warisan Ikan Tahai
LAWAS : Program ‘Youth for Hope, Action and Rural Vitality Through Empowerment and Sustainability’ 3.0 (Y-HARVEST 3.0) menjadi platform memperkasa golongan belia dan komuniti luar bandar melalui usaha memelihara serta meningkatkan nilai komersial produk warisan tempatan, khususnya Ikan Tahai.
Pengurus Komunikasi Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), Ben Jimbau berkata, program tersebut mencerminkan komitmen YPS dalam menghubungkan golongan belia dengan komuniti tempatan melalui pendekatan berasaskan warisan, keusahawanan dan kelestarian.
“Penglibatan anak-anak muda bersama komuniti kampung bukan sahaja memberi peluang untuk mempelajari kemahiran tradisional, malah membina hubungan, persefahaman dan semangat perpaduan melalui pengalaman bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pnutupan program tersebut di Hotel Seri Malaysia, di sini pada Jumaat.
Menurut Ben, edisi ketiga program tersebut yang berlangsung di Kampung Punang Baru memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan pengkomersialan warisan unik tempatan menerusi produk Ikan Tahai.
Beliau berkata, seramai 16 peserta belia terpilih daripada 67 permohonan yang diterima dari seluruh Malaysia menyertai program berkenaan, melibatkan pelbagai latar belakang akademik, etnik dan negeri.
“Peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, India, Melanau, Bajau dan Lun Bawang membuktikan semangat perpaduan serta keterangkuman yang ingin diterapkan melalui program ini,” ujarnya.
Beliau menambah, penglibatan lebih 20 warga Kampung Punang Baru yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengusaha rumah salai serta ahli Koperasi Pemprosesan Ikan Tahai turut memperkukuh proses perkongsian ilmu dan pengalaman antara komuniti dengan golongan belia.
Program tersebut turut menampilkan Pengasas Opah Delitaste dan pemenang Shell LiveWire Sarawak 2024, Zety Zalaludin, yang berkongsi pengalaman dalam sesi Tahai Product Lab serta aspek keusahawanan bersama peserta.
Selain itu, Dr Mohammad Halim Jeinie dan Dr Maryam ‘Adilah Zainal Arifin turut menyampaikan perkongsian berkaitan pemprosesan warisan Tahai, keselamatan makanan, pembungkusan, nilai tambah dan potensi komersial industri desa.
Turut hadir, Pengurus Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) Roslin Mawar Latip serta Awang Muhamad Redhuan Awang Mushtapa mewakili Pejabat Daerah Lawas. -EDISI UKAS