BINTULU: Pengambilalihan pengurusan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak mulai 1 September 2026 membuktikan kerjasama dan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mampu menyelesaikan isu kompleks secara bersama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, proses berkenaan mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.
“Menteri telah mewartakan penamatan Bintulu Port Act yang berkuat kuasa pada 31 Ogos 2026, manakala mulai 1 September 2026, Kerajaan Sarawak akan mengurus Pelabuhan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, tiga perkara utama dipersetujui dalam proses pengambilalihan itu melibatkan pengambilan semua kakitangan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB), pengembalian sebahagian aset LPB serta pembayaran berkaitan aset tersebut.
Datuk Amar Douglas berkata, penyelesaian itu menunjukkan isu yang pada asalnya rumit dapat ditangani menerusi usaha, persefahaman dan semangat Malaysia.
“Bagi Sarawak, kita akan memberi komitmen untuk memastikan Pelabuhan Bintulu terus dibangunkan supaya bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah di peringkat global,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, pembangunan Pelabuhan Bintulu turut memberi manfaat kepada Malaysia selaras dengan prinsip bahawa pembangunan Sarawak merupakan sebahagian daripada pembangunan negara.
Pelabuhan Bintulu akan berada di bawah pengurusan Kerajaan Sarawak mulai 1 September ini selepas 47 tahun ditadbir Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan-Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) Datu Chiew Chee Yau, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Bintulu, Dato Normah Osman dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu, Kapten Zakhir Khan Yusop. -EDISI UKAS