Lawatan MAHA 2026 Teroka Peluang Baharu Pacu Pembangunan Sri Aman
SELANGOR: Penyertaan delegasi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuka ruang untuk meneroka inovasi, peluang baharu serta jaringan strategik yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan komuniti di Bahagian Sri Aman.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, lawatan kerja rasmi ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 29 hingga 30 Ogos itu memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti pendekatan serta inisiatif yang bersesuaian untuk diadaptasi mengikut keperluan pembangunan setempat.
Menurut beliau, lawatan berkenaan perlu menghasilkan tindakan susulan yang nyata agar pengetahuan, inovasi dan pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar.
“Lawatan ini bukan sekadar kunjungan rasmi atau suka-suka semata-mata. Apa yang paling penting adalah hasil dan tindakan susulan yang nyata daripada apa yang kita teroka di sini, supaya ia dapat diadaptasikan demi manfaat dan pembangunan Bahagian Sri Aman secara keseluruhan,” katanya.
Lawatan itu turut menjadi platform kepada delegasi untuk meneliti perkembangan terkini dalam sektor pertanian, hortikultur dan agropelancongan, selain bertukar pandangan serta membina jaringan dengan pelbagai pihak berkaitan.
Turut menyertai delegasi ialah Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Ts. Lenny Busuri serta wakil Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Sekretariat SADA.
Penemuan, perkongsian ilmu dan jaringan strategik yang diperoleh sepanjang MAHA 2026 akan diperhalusi bagi mengenal pasti potensi pelaksanaannya dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi tempatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti di Bahagian Sri Aman. -EDISI UKAS