JPBNS Pantau Rapi IPU Serian, Nilai Perkembangan Dalam Tiga Hari
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memantau rapi Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian dalam tempoh tiga hari bagi menilai trend bacaan, khususnya sekiranya melepasi paras 500 yang memerlukan tindakan lanjut.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan itu penting memandangkan bacaan IPU dipengaruhi terutamanya oleh arah angin serta sumber titik panas yang menyumbang kepada pergerakan jerebu.
“JPBNS akan terus memantau paras IPU di Serian dalam tempoh tiga hari ini bagi melihat sebarang turun naik bacaan, khususnya sekiranya ia meningkat melebihi paras 500,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Sabtu berhubung situasi jerebu dan perkembangan kualiti udara di Serian.
Datuk Amar Douglas yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, keadaan itu akan dinilai sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim mengenai status darurat di Serian.
Dalam pada itu, beliau berkata, pejabat kerajaan, swasta dan tempat kerja lain di kawasan terjejas termasuk industri, ladang, tapak pembinaan dan kuari boleh meneruskan operasi, namun perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan pekerja.
Beliau turut menasihatkan orang ramai di kawasan terjejas supaya mengelakkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka N95 atau sekurang-kurangnya pelitup muka tiga lapis sekiranya pendedahan di luar tidak dapat dielakkan.
Setakat jam 10 pagi, stesen pemantauan kualiti udara di Serian merekodkan bacaan IPU 334 yang berada dalam kategori berbahaya.
Pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semalam selepas keadaan jerebu menyebabkan bacaan IPU di kawasan berkenaan melebihi paras 500.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Premier Sarawak serta agensi berkaitan berhubung tahap kualiti udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan awam.
Untuk rekod, bacaan IPU Serian mencecah lebih 500 pada jam 10 pagi semalam sebelum dilaporkan mencapai 521, sekali gus melepasi paras yang menjadi ambang tindakan kecemasan.-EDISI UKAS