Pavilion Sarawak Dinobat Pavilion Negeri Terbaik, Juara MAHA 2026
SERDANG: Pavilion Sarawak mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pavilion Negeri Terbaik merangkul gelaran Juara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026.
Kejayaan itu menyaksikan Pavilion Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta sijil penghargaan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang pada Sabtu.
Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Anak Daha, bersama pegawai serta petugas Pavilion Sarawak hadir menerima hadiah berkenaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Pencapaian itu mengukuhkan pencapaian Sarawak mengetengahkan keunikan, kepelbagaian produk, inovasi dan potensi industri agro negeri menerusi platform bertaraf nasional.
Selain itu, ia juga mencerminkan hasil kerjasama erat, komitmen serta kesungguhan pelbagai kementerian, jabatan, agensi, usahawan dan pemain industri Sarawak dalam mempromosikan kekuatan serta keistimewaan sektor agro makanan, pertanian dan komoditi Sarawak.
Kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa penyertaan Sarawak di MAHA bukan sekadar platform pameran, malah menjadi wadah strategik dalam memperkenalkan produk, inovasi, budaya, keusahawanan serta potensi agro makanan dan komoditi Sarawak ke peringkat yang lebih luas.-EDISI UKAS